Tajuk Berita Terbaru

http://www.bina-website-sendiri.com/images/header.jpg

Khamis, Mei 20, 2010

Padah seludup dadah RM6 juta


ALOR SETAR - Taktik seorang pengusaha restoran menyembunyikan 74 ketulan heroin bernilai RM6 juta yang siap dibalut dengan kertas minyak di dalam ruang tayar ganti kereta terbongkar apabila dia ditahan di kilometer 15.1 dekat Napoh, Changlun di sini kelmarin.
Lelaki berusia 47 tahun tersebut ditahan pukul 2.40 petang dalam satu sekatan jalan raya ketika sedang menaiki sebuah kereta jenis Toyota Corona oleh sepasukan anggota polis dan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam selepas menerima maklumat awam.
Difahamkan, suspek yang berasal dari Air Hitam, Pulau Pinang itu merupakan pengusaha restoran di Hadyai sejak 13 tahun lalu.
Setiap satu ketulan heroin yang bernilai tinggi itu bernilai RM80,000 dengan anggaran berat 400 gram.
Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan memberitahu, berat dadah tersebut mencecah lebih 30 kilogram dan selepas dibalut, kesemuanya diisi dalam sebuah beg plastik besar.
"Siasatan mendapati dadah tersebut hendak dihantar ke Pulau Pinang untuk diproses semula bagi edaran pasaran tempatan.
"Selain dadah, kita turut merampas wang RM1,088 dan Baht 3,850 (RM383), tiga buah telefon bimbit dan sebuah kereta," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Keluarga saksi buat laporan 'cubaan bunuh'

Keluarga saksi utama kes pelajar 14 tahun yang mati ditembak polis, Aminulrasyid Amzah – Azamuddin Omar membuat laporan polis mengenai apa yang didakwa mereka sebagai percubaan membunuh ke atasnya.

Laporan itu dibuat di ibu pejabat polis daerah Shah Alam pada jam 2.12 petang hari ini oleh abangnya, Mohd Hafizzuddin Omar.

Azammuddin (pertama dari kanan) adalah penumang di bahagian depan ketika kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid ditembak.

Remaja itu juga mendakwa tembakan berulang kali dilepaskan ke arah mereka oleh polis dan dia dibelasah selepas kereta mereka terhenti.

Hafizzudin juga meminta Kementerian Dalam Negeri menubuhkan satu badan bebas bagi menyiasat perkara itu dengan segera.

'Tutup kebenaran'

Serentak dengan laporan polis itu, keluarga Aminulrasyid juga membuat laporan mendakwa pihak polis cuba menutup kebenaran di sebalik kematian remaja itu.

Laporan itu dibuat oleh kakak Aminulrasyid – Norazura Amzah, 39(kiri).

Peguam keluarganya, N Surendran yang hadir pada sidang media berkata laporan polis itu adalah permulaan pusingan pertama tindakan undang-undang oleh keluarga itu bagi membersihkan nama anak mereka.

Menurut Surendran, mereka berharap polis akan memandang berat laporan itu dan menyiasat dakwaan berkenaan.

Katanya, laporan polis itu juga meminta KDN menubuhkan badan bebas untuk menyiasat beberapa kenyataan dikeluarkan pihak polis yang didakwanya seolah-olah bertujuan menutup kes itu. - Malaysiakini

Timbalan presiden PKR saman Utusan RM10 juta


Timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali hari ini memfailkan saman RM10 juta terhadap Utusan Melayu di MahkamathTinggi Kuala Lumpur.

Syed Husin, yang baru-baru ini dilantik sebagai senator oleh kerajaan negeri Selangor juga menamakan, pengarang akhbar milik Umno itu, Mohd Hassan Mohd Noor dan bekas pemimpin PKR Zamil Ibrahim sebagai defendan.

Dalam kenyataannya, Syed Husin mendakwa artikel pada 6 Mac, Utusan Malaysia yang berjudul 'RM500,000: Syed Husin dicabar lapor polis' adalah berunsur fitnah.

Artikel berkenaan yang dipetik berdasarkan sebuah blog mendakwa Syed Hussein telah dibeli oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dibayar RM500,000 bagi membubarkan Parti Rakyat Malaysia, yang mana beliau adalah presiden dan kemudiannya menyertai PKR.

Syed Husin mendakwa Zamil pada atau sebelum 6 Mac berckap kepada seorang wartawan Utusan Malaysia, dan artikel berkenaan membayangkan timbalan presiden PKR itu bersalah dengan kegiatan rasuah.

Beliau juga mendakwa artikel berkenaan membawa maksud bahawa dia telah melakukan kesalahan jenayah yang membawa kepada hukuman penjara.

Artikel itu juga dikata mengambarkan seolah-olah Syed Husin seorang hiprokit dan tidak layak menjadi ahli politik, menikam rakan-rakan parti, tidak berprinsip dan tidak layat memegang jawatan timbalan presiden PKR.

Dia juga mendakwa penerbitan artikel itu telah memburukkan nama baik, kredit dan reputasinya. -malaysiakini-

Lagi Pemuda tampil buat laporan kedua dakwa ditembak polis?

SHAH ALAM 19 Mei - Belum pun reda kisah menimpa remaja Aminulrasyid Amzah, 15, di Shah Alam baru-baru ini, seorang pemuda pula tampil mendakwa dirinya juga cedera terkena tembakan anggota polis lebih setahun lalu.

Malah, dia turut mendakwa kesnya sehingga kini belum terbela sepenuhnya.Kes itu berlaku ketika Shahril Azlan Ahmad Kamil , 26, dalam perjalanan pulang selepas menonton perlawanan bola sepak di sebuah restoran di Seksyen 7, di sini pada 16 April tahun lalu.

Menurut pekerja swasta di Pelabuhan Utara, Klang itu, kejadian berlaku pada pukul 12.30 tengah malam semasa dia cuba melarikan diri daripada satu sekatan polis.Katanya, dia ternampak sekatan itu sejurus keluar daripada satu simpang di kawasan berkenaan lalu bertindak mengundur keretanya.

Dia berbuat demikian kerana ketakutan apabila cukai jalan kereta Proton Wira yang dipandunya itu telah tamat tempoh."Semasa mengundur kereta, tiba-tiba muncul dua polis berpakaian biasa dengan memegang kayu dan menghampiri kereta saya.

"Akibat panik saya mengundur lebih laju ke arah selekoh Persiaran Permai, Seksyen 7 di sini, dan terdengar dua hingga tiga das tembakan dari sisi kiri kereta."Saya menundukkan badan untuk melindungi diri daripada terkena tembakan tetapi sebutir peluru terakhir telah menembusi kereta dan bahu saya lalu terus ke rusuk kiri hingga ke tulang belakang," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas membuat laporan polis kali kedua di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini hari ini.Sebelum ini mangsa telah membuat laporan polis berhubung kejadian menimpa dirinya di IPD Klang pada tahun lalu.

Dalam kejadian sekitar pukul 2 pagi 26 April lalu, Aminulrasyid maut setelah terkena tembakan anggota polis yang mengejarnya kira-kira 100 meter dari rumahnya di Seksyen 11 di sini.Shahril Azlan memberitahu, sehingga kini, peluru itu masih berada di dalam badannya dan berisiko tinggi jika dikeluarkan.

Sementara itu, peguam, Fadiah Nadwa Fikri dari Tetuan Kesavan yang mewakili Shahril Azlan pula berkata, pihaknya menuntut Bukit Aman supaya menubuhkan pasukan khas menyiasat kes tersebut.Katanya, ini kerana sejak ia dilaporkan, tiada tindakan konkrit diambil terhadap anggota polis yang menembak anak guamnya.

"Pihak pengadu melarikan diri hanya kerana tiada cukai jalan dan tidak lebih daripada itu. Tindakan wakil pihak polis menawarkan RM200 sebagai belanja perubatan yang tidak diterima ibu bapa pengadu, menunjukkan penglibatan polis dalam kes itu," jelasnya.

Beliau juga mempersoalkan siasatan awal pihak polis menemui sebilah parang dalam kereta itu yang disahkan oleh anak guamnya bukan miliknya.Tegasnya, pihak berkuasa perlu melakukan sesuatu kerana sehingga kini anggota polis terlibat masih tidak dihadapkan ke mahkamah atau dikenakan tindakan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin ketika dihubungi hari ini mengesahkan pihaknya menerima laporan tersebut daripada pengadu.

Bung dipenjara, Zizie didenda


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini semalam selepas berpoligami tanpa kebenaran mahkamah melalui perkahwinan kontroversi dengan aktres Zizie Ezette Abd. Samad hujung tahun lalu.

Selain itu, Bung Mokhtar juga didenda RM1,000 atau penjara enam bulan kerana kesalahan bersubahat dengan Zizie iaitu berkahwin tanpa kebenaran Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk.

Zizie pula didenda masing-masing RM1,000 bagi dua pertuduhan iaitu kesalahan bernikah tanpa kebenaran pendaftar dan kesalahan bersubahat poligami dengan Bung Mokhtar.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan hukuman penjara terhadap Bung Mokhtar ditangguhkan bagi memberi peluang beliau memfailkan notis rayuan dalam tempoh 14 hari di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Sehubungan itu, Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad melepaskan tertuduh dengan bon jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, Wan Mahyuddin dalam penghakimannya berkata, hukuman tersebut dibuat berdasarkan kedudukan Bung Moktar dan Zizie sebagai ikon masyarakat iaitu pemimpin dan pelakon yang diminati ramai.

"Hukuman yang diberikan ini setimpal dan seadil-adilnya memandangkan perkahwinan itu didaftarkan secara tidak sah dan boleh dianggap menjalankan pernikahan sindiket.

"Hukuman yang dikenakan kepada wali dan saksi itu juga bertujuan mendidik masyarakat mengenai peraturan perkahwinan," kata beliau.

Bung Moktar, 51, didakwa berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dengan isterinya Zizie, 32, di rumah No 12, Jalan TC2B/3 Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak pada 8.50 malam 16 Disember tahun lalu. - kosmo

Hujan bawa lagu jiwang?


SELEPAS muncul dengan album kedua, Mencari Konklusi pada tahun lalu, khabarnya kumpulan Hujan bakal muncul dengan naskhah seterusnya pada bulan puasa ini. Boleh dikatakan, hampir 60 peratus proses rakaman album dah dibuat sejak memulakan projek baru itu sebulan lepas.

Paling menarik, Marilyn dengar cerita, Hujan akan beralih angin sikit dengan menampilkan lebih banyak lagu berkonsepkan balada. Bahkan, daripada 14 buah lagu, hampir keseluruhan terdiri daripada lagu berentak jiwang. Pelik, sampai macam itu sekali mereka nak buat perubahan.

Lagu-lagu itu dikatakan dah ada dalam simpanan grup tersebut yang dicipta sejak tahun 2006. Malah, ada juga lagu baru dihasilkan semata-mata mahu dimuatkan ke dalam album belum diberikan judul lagi. Minta-mintalah Hujan letakkan tajuk dengan guna nama Marilyn pada album mereka itu kan?

Salah seorang teman Marilyn sempat bertanyakan kesahihan perkara itu daripada mulut Noh sendiri. Paling mengejutkan, memang benar mereka ketengahkan hampir 90 peratus lagu-lagu balada dalam album berkenaan.

Alasannya, Hujan yang dianggotai oleh empat ahli itu selama ini memang buat muzik ikut perasaan dan syok sendiri. Mereka tak perlu ikut orang lain atau kehendak pasaran semasa meluahkan berkarya. Lebih bagus bersikap jujur dan mengikut naluri.

Marilyn akui cukup bangga lihat pendirian kukuh kumpulan itu. Sebagai pemuzik yang berjaya mencipta sejarah dari pentas indie ke muzik komersial, mereka hasilkan karya dengan seikhlas hati. Lihat sajalah, lagu-lagu Hujan sebelum ini dengan mudahnya dapat tempat di hati peminat dan memenangi pengiktirafan pihak tertentu.

Marilyn harap pemuzik lain di negara ini dapat contohi usaha dan semangat Hujan. Jangan takut nak lakukan perubahan demi meningkatkan diri pada tahap lebih tinggi. Marilyn bukan nak suruh mereka sampai buat transisi drastik. Sebaliknya mulakan dari sekecil-kecilnya sebelum merealisasikan sesuatu yang besar. Hmm, sendiri fikirlah! - kosmo

McLaren mampu hambat Red Bull


HAMILTON (kanan) optimis McLaren mampu memberi cabaran sengit kepada Red Bull sehingga penghujung musim ini.

LONDON - Pemandu sensasi McLaren, Lewis Hamilton optimis pasukannya masih berpeluang untuk mengatasi Red Bull pada perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini.

Setakat ini, Red Bull telah mendominasi petak hadapan dalam kesemua enam perlumbaan dan memenangi tiga daripadanya.

Hamilton kini menduduki tempat ketujuh keseluruhan bagi kategori pemandu apabila ketinggalan 19 mata di belakang dua pemandu Red Bull, Sebastian Vettel dan Mark Webber yang berkongsi kedudukan selaku pendahulu.

Begitupun, juara dunia 2008 itu yakin McLaren pasti mencari jalan untuk mengatasi Red Bull sebelum saingan musim 2010 berakhir.

"Jentera Red Bull memang pantas dan saya sebenarnya yakin mereka belum berada pada prestasi terbaik.

"Namun ia bukanlah sesuatu yang menakutkan kerana saya tahu, kami pasti mampu untuk mengatasi mereka meskipun ia bukanlah sesuatu yang mudah," kata Hamilton.

Sementara itu, rakan sepasukan Hamilton, Jenson Button menganggap mereka memerlukan lebih masa untuk merapatkan jurang dengan Red Bull.

"Buat masa ini, Red Bull memiliki jentera yang paling kompetitif," kata Button.

"Kami akan cuba yang terbaik untuk mendapatkan seberapa banyak mata kerana jika mereka tidak melakukan sebarang kesilapan pada beberapa perlumbaan akan datang, agak sukar untuk kami mengatasi mereka." - Agensi - kosmo

'Malaysia bukan masyarakat judi'~Dr.Asri~


Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussein bahawa kerajaan pusat mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen judi sempena Piala Dunia 2010 demi mengelakkan berleluasa kegiatan judi haram adalah satu kenyataan yang memalukan dan amat menyalahi cara fikir yang lurus.

Saya ingin tegaskan hal ini berasaskan perkara berikut:

1. Dari segi Islam adalah menjadi asas bahawa 'tindakan pemerintah terikat dengan maslahah'. Maslahah dalam konteks ini adalah kepentingan atau kebaikan rakyat dan negara itu sendiri.

Ini seperti juga yang disebut oleh al-Imam al-Syafi'i r.h: “Kedudukan pemerintah di sisi rakyat bagaikan kedudukan penjaga anak yatim” (lihat: Al-Sayuti, al-Asybah wa al-Nazair).

Apakah memberikan lesen judi itu memberikan kebaikan atau mempunyai kepentingan umum rakyat? Atau ia hanya kepentingan segelintir taukeh dan kaki judi semata?

Jika ia tidak memulangkan kepentingan umum atau kebaikan kepada rakyat maka itu bukan tindakan pemerintah yang bertanggungjawab.

2. Tidak dinafikan judi dan arak memang mempunyai keuntungan dan beberapa manfaat untuk pihak-pihak tertentu.

Namun, ancaman dan bahayanya jauh lebih besar dibandingkan manfaat yang bakal diterima.

Al-Quran menyebut: (maksud) “Mereka bertanya engkau (wahai Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa (keburukan) yang besar dan manfaat kepada manusia.

Namun dosa (keburukan) keduanya lebih besar dari manfaatnya” (Surah al-Baqarah ayat 219).

Maka dengan itu, sekadar untuk digunakan cukai judi berkenaan untuk kegiatan sukan bukan satu alasan. Kerosakan judi lebih besar dari manfaat yang akan diterima.

Membiayaan untuk membaikinya nanti jauh lebih tinggi.

3. Judi sama ada 'dilesenkan' atau tidak dilesen keburukannya sentiasa dominan.

Ia menyebabkan pembaziran tanpa sebab, sikap bergantung nasib tanpa kewarasan, merosakkan keluarga, menimbulkan tabiat suka berhutang, membawa kepada kejatuhan ekonomi individu secara mengejut, ketagihan tabiat buruk tersebut yang luar biasa dan berbagai lagi keburukan yang lain.

Akal waras manusia dari semua aliran agama dan masyarakat, bahkan yang tidak beragama pun tetap menyatakan judi selalu merosakkan masyarakat.

4. Jika pun judi itu untuk masyarakat bukan Islam, saya tetap katakan masyarakat Malaysia bukan masyarakat judi.

Tiada ajaran mana-mana agama yang menggalakkan judi. Tiada siapa pun dalam mana-mana bangsa atau agama dalam negara ini sanggup untuk mendakwa 'judi adalah budaya kami', atau 'kebanggaan hidup kami'.

Jika ada, itu terkeluar dari norma kewarasan. Tiada isteri yang normal sukakan suaminya kaki judi.

Maka, jangan kaitkan atau hidupkan budaya ini secara terbuka dalam masyarakat kita. Kaki judi sentiasa dipandang negatif dalam semua masyarakat yang rasional.

5. Judi akan menggalakkan tabiat berhutang dan pergaduhan. Sama ada diberi lesen atau tidak, tetap sama.

Hutang along atau hutang bank, tetap bebanan hutang.

Jika diberi lesen terbuka, yang tertutup tetap berjalan seperti biasa. Itu bukan alasan yang munasabah.

6. Peranan pemerintah adalah mencegah keburukan, bukan menaja atau bersaing dengan penjenayah. Cadangan tersebut hanya mengubah 'tauke' sahaja dari yang berlesen kepada yang tidak berlesen.

Apakah nanti mungkin kita akan wujudkan tempat 'hisap candu berlesen' untuk mengelakkan penagih candu menghisapnya di tempat yang tidak berlesen?

Jangan fikir lesen dan cukai keuntungan sahaja, kerajaan hendaklah berfikir kesan yang akan menimpa rakyat nanti!

Maka, saya sekali lagi membantah cadangan ini dan meminta semua rakyat Malaysia yang waras dan mempunyai nilai-nilai agama dan moral membantah cadangan ini!

Mati tersangkut pada pokok


KANGAR - Jika kebiasaannya pelajar yang ponteng sekolah menjadikan pusat siber atau tempat membeli-belah sebagai lokasi untuk melepak namun lain pula kerenah bagi enam sekawan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Abi di sini kelmarin.

Enam pelajar itu memilih untuk meraikan hari ponteng sekolah mereka dengan menunggang tiga buah motosikal mendaki bukit di Kampung Tok Lalang di sini.

Namun, keseronokan itu membawa igauan ngeri kepada kumpulan pelajar tersebut apabila salah seorang daripada mereka maut apabila motosikal yang ditunggangi ketika menuruni bukit terbabas lalu jatuh ke dalam gaung.

Semasa kejadian pada pukul 12 tengah hari, mangsa Mohd. Ridzuan Baharom , 14, ditemui mati tersangkut pada sebatang pokok tepus dalam gaung yang mempunyai kedalamankira-kira 50 meter.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supritendan Abdul Rahman Noordin berkata, mayat mangsa yang lengkap berpakaian sekolah hanya ditemui pada pukul 12.30 tengah malam iaitu selepas lebih 12 jam dicari oleh rakan- rakan, polis dan penduduk kampung. -kosmo

Guna magnet tipu pengguna TNB


SHAFIEN menunjukkan magnet yang digunakan oleh dua lelaki untuk menipu mangsanya pada sidang akhbar di Balai Polis Nibong Tebal semalam.

NIBONG TEBAL - Hanya dengan menggunakan seketul magnet yang telah diubahsuai, dua lelaki mengaut puluhan ribu ringgit dengan menipu orang awam melibatkan penggunaan meter elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat berkata, dengan menyamar sebagai petugas TNB, dua suspek terbabit dipercayai menjadikan kawasan rumah kediaman di sekitar daerah ini sebagai sasaran.

"Ketika menemui pemilik rumah, suspek berpura-pura melakukan pemeriksaan terhadap bacaan meter di rumah mangsa.

"Tanpa disedari, seorang daripada suspek meletakkan seketul magnet yang telah diubahsuai bertujuan memperlahankan pergerakan meter," kata beliau di sini semalam. -kosmo

Sila "share" Berita2 di sini dengan kawan2 anda...terima kasih
 
© 2009 Berita pagi malaysia. All Rights Reserved | Powered by Blogger
Blogger Layout by psdvibe | Bloggerized By LawnyDesignz |Modern Home Design