Tajuk Berita Terbaru

http://www.bina-website-sendiri.com/images/header.jpg

Khamis, Mei 20, 2010

Lagi Pemuda tampil buat laporan kedua dakwa ditembak polis?

SHAH ALAM 19 Mei - Belum pun reda kisah menimpa remaja Aminulrasyid Amzah, 15, di Shah Alam baru-baru ini, seorang pemuda pula tampil mendakwa dirinya juga cedera terkena tembakan anggota polis lebih setahun lalu.

Malah, dia turut mendakwa kesnya sehingga kini belum terbela sepenuhnya.Kes itu berlaku ketika Shahril Azlan Ahmad Kamil , 26, dalam perjalanan pulang selepas menonton perlawanan bola sepak di sebuah restoran di Seksyen 7, di sini pada 16 April tahun lalu.

Menurut pekerja swasta di Pelabuhan Utara, Klang itu, kejadian berlaku pada pukul 12.30 tengah malam semasa dia cuba melarikan diri daripada satu sekatan polis.Katanya, dia ternampak sekatan itu sejurus keluar daripada satu simpang di kawasan berkenaan lalu bertindak mengundur keretanya.

Dia berbuat demikian kerana ketakutan apabila cukai jalan kereta Proton Wira yang dipandunya itu telah tamat tempoh."Semasa mengundur kereta, tiba-tiba muncul dua polis berpakaian biasa dengan memegang kayu dan menghampiri kereta saya.

"Akibat panik saya mengundur lebih laju ke arah selekoh Persiaran Permai, Seksyen 7 di sini, dan terdengar dua hingga tiga das tembakan dari sisi kiri kereta."Saya menundukkan badan untuk melindungi diri daripada terkena tembakan tetapi sebutir peluru terakhir telah menembusi kereta dan bahu saya lalu terus ke rusuk kiri hingga ke tulang belakang," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas membuat laporan polis kali kedua di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini hari ini.Sebelum ini mangsa telah membuat laporan polis berhubung kejadian menimpa dirinya di IPD Klang pada tahun lalu.

Dalam kejadian sekitar pukul 2 pagi 26 April lalu, Aminulrasyid maut setelah terkena tembakan anggota polis yang mengejarnya kira-kira 100 meter dari rumahnya di Seksyen 11 di sini.Shahril Azlan memberitahu, sehingga kini, peluru itu masih berada di dalam badannya dan berisiko tinggi jika dikeluarkan.

Sementara itu, peguam, Fadiah Nadwa Fikri dari Tetuan Kesavan yang mewakili Shahril Azlan pula berkata, pihaknya menuntut Bukit Aman supaya menubuhkan pasukan khas menyiasat kes tersebut.Katanya, ini kerana sejak ia dilaporkan, tiada tindakan konkrit diambil terhadap anggota polis yang menembak anak guamnya.

"Pihak pengadu melarikan diri hanya kerana tiada cukai jalan dan tidak lebih daripada itu. Tindakan wakil pihak polis menawarkan RM200 sebagai belanja perubatan yang tidak diterima ibu bapa pengadu, menunjukkan penglibatan polis dalam kes itu," jelasnya.

Beliau juga mempersoalkan siasatan awal pihak polis menemui sebilah parang dalam kereta itu yang disahkan oleh anak guamnya bukan miliknya.Tegasnya, pihak berkuasa perlu melakukan sesuatu kerana sehingga kini anggota polis terlibat masih tidak dihadapkan ke mahkamah atau dikenakan tindakan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin ketika dihubungi hari ini mengesahkan pihaknya menerima laporan tersebut daripada pengadu.
Sila "share" Berita2 di sini dengan kawan2 anda...terima kasih
 
© 2009 Berita pagi malaysia. All Rights Reserved | Powered by Blogger
Blogger Layout by psdvibe | Bloggerized By LawnyDesignz |Modern Home Design