Tajuk Berita Terbaru

Selasa, Ogos 17, 2010

muntah darah selepas dibelasah jiran

Kosmo -Separuh mati dipukul jiran
KUALA LUMPUR: Hanya kerana menegur jirannya yang membuat bising melampau ketika dia cuba untuk tidur kerana ingin bangun awal bersahur, seorang lelaki ‘muntah darah’ selepas dibelasah separuh mati, selain dihentam dengan kerusi hingga menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri.
Dalam kejadian itu, mangsa yang juga seorang mualaf berusia 59 tahun cedera teruk di kepala dan koyak telinga kiri serta pengsan beberapa jam selepas dipukul bertubi-tubi oleh suspek yang berang dengan teguran mangsa.

Mangsa, Syamsul Abdullah berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya di Jalan Petaling di sini, sebelum terdengar bunyi jerit pekik dan bising keterlaluan jiran yang tinggal di hadapan rumahnya. Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam, dia yang tidak tahan dengan bunyi bising dari rumah jiran terbabit bertindak keluar sebelum mengetuk pintu rumah jiran terbabit untuk menegur perbuatan berkenaan.

“Apa yang saya tahu dia kerap menjerit dan membuat bunyi bising, terutama ketika dalam keadaan mabuk dengan membuka televisyen secara kuat, berkaraoke dan macam-macam lagi.

“Namun, teguran saya itu bertukar menjadi insiden berdarah apabila suspek warga asing dari Myanmar menumbuk muka saya bertubi-tubi tanpa sempat saya mempertahankan diri,” katanya.

Syamsul pekerja kedai barang binaan yang sudah lebih 10 tahun menginap di situ berkata, sebaik saja dia menegur suspek supaya tidak membuat bising kerana hari sudah lewat malam dan jiran lain ingin tidur, dia ditumbuk sekuat hati di mata kanan membuatkannya pening dan cuba beredar.

Namun, suspek bertindak mengejar mangsa hingga ke satu ruang rehat yang menempatkan kerusi kayu dan meja. Suspek mencapai kerusi di situ dan menghentak kepala mangsa berkali-kali.

“Kerana hentakan yang kuat saya terus pengsan dan terbaring di lantai, beberapa rakan suspek juga dipercayai turut sama membelasah saya, tetapi tidak perasan berapa orang kerana pengsan.

“Rumah jiran itu kebiasaannya dihuni lima orang sejak tiga tahun lalu dan memang saya kenal dengan mereka semua serta sudah banyak kali menegur kelakuan mereka itu, “ katanya.

Kejadian serangan itu menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri sebelum suspek segera cabut lari dari kawasan berkenaan. Difahamkan, jiran lain tidak berani membantu kerana suspek ramai dan bertindak mengunci diri dalam rumah masing-masing.

“Apabila sedar kira-kira jam dua pagi, saya mendapati telinga kiri terkoyak, manakala muka berlumuran darah akibat dipukul. Malah, seluruh tubuh lebam dan sakit kerana dibelasah suspek.

“Susulan kejadian itu saya menguatkan diri keluar mencari klinik mendapatkan bantuan. Sebaik sampai di klinik berhampiran saya di nasihatkan ke hospital,” katanya.
Sila "share" Berita2 di sini dengan kawan2 anda...terima kasih
 
© 2009 Berita pagi malaysia. All Rights Reserved | Powered by Blogger
Blogger Layout by psdvibe | Bloggerized By LawnyDesignz |Modern Home Design