Tajuk Berita Terbaru

Selasa, Ogos 17, 2010

mengaku buang bayi dalam tong sampah

Mymetro -Pasangan muda mengaku buang bayi dalam tong sampah
MALU...gadis juvana terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret Melaka, semalam. 

 
MELAKA: Sepasang kekasih yang ditahan beberapa jam selepas membuang seorang bayi perempuan di dalam tong sampah di hadapan kilang plastik di Ayer Keroh, awal pagi hari pertama Ramadan lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Pada prosiding bermula kira-kira jam 3 petang itu, tertuduh lelaki yang berusia 18 tahun dan pasangannya, juvana berusia 17 tahun 10 bulan, kedua-duanya berasal dari Felda Jelai 2, Gemas, Negeri Sembilan mengaku bersalah terhadap pertuduhan sejurus ia dibacakan dan diterangkan jurubahasa mahkamah.
Terdahulu, tertuduh lelaki yang memakai baju lokap, manakala juvana perempuan berpakaian baju kurung merah dan bertudung coklat tenang di dalam kandang pesalah serta sesekali dilihat bercakap sesuatu antara mereka.

Kedua-dua mereka yang bekerja di kilang sama tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Hazura Hamid dan kes didengar Majistret Mohd Fairuz Johari.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membuang seorang bayi perempuan di kawasan Kilang Daibochi, Ayer Keroh, kira-kira jam 1 pagi pada 11 Ogos lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berhubung pengakuan bersalah tertuduh, Noor Hazura memohon tarikh sebutan baru bagi mendapatkan laporan akhlak bagi kedua-dua tertuduh yang juga pesalah muda di bawah umur 21 tahun.

Beliau mencadangkan jaminan RM10,000 bagi membebaskan kedua-dua tertuduh sementara menunggu perbicaraan selesai.

Mohd Fairuz bagaimanapun membenarkan jaminan dikurangkan kepada RM5,000 bagi setiap tertuduh selepas menimbangkan rayuan bahawa mereka tidak mampu kerana berasal daripada keluarga susah.

Kes ditetapkan untuk sebutan bagi fakta dan hukuman serta laporan akhlak pada 28 September depan.

Harian Metro pada Khamis lalu melaporkan seorang pengawal keselamatan kilang terkejut apabila mendengar tangisan bayi yang disangkakan nada dering telefon bimbit.

Selepas memeriksa, dia menjumpai bayi perempuan masih bertali pusat di dalam beg kain dalam tong sampah di hadapan pondok pengawal sebelum kedua-dua tertuduh ditahan polis.
Sila "share" Berita2 di sini dengan kawan2 anda...terima kasih
 
© 2009 Berita pagi malaysia. All Rights Reserved | Powered by Blogger
Blogger Layout by psdvibe | Bloggerized By LawnyDesignz |Modern Home Design