Tajuk Berita Terbaru

http://www.bina-website-sendiri.com/images/header.jpg

Selasa, Ogos 10, 2010

kes buang bayi kian meningkat - 1 hari 3 Kes!!

kes -1
Utusan -Bayi dibunuh kejam







mayat bayi ditemui di kawasan pelupusan sampah di Bercham, Perak, semalam.


POH 9 Ogos - Usianya baru dua bulan dan sudah dilahirkan dengan selamat tetapi apalah dosanya sehingga bayi lelaki ini sanggup dibuang sehingga menemui ajal.
Dibalut dengan lampin, tudung putih dan kain batik, bayi itu dibungkus dalam plastik sampah hitam sebelum ditemui di tempat pelupusan sampah di Bercham dekat sini hari ini.

Mujurlah ia ditemui seorang pencari barang lusuh, Ahmad Sufian Zulkifli, 30, kira-kira pukul 1.45 petang ini selepas ia dipercayai dikutip lori pengangkut sampah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
"Saya menemui satu beg plastik. Ketika dipegang, kandungan seperti lembik.
"Saya mula syak sesuatu dan membukanya sebelum menemui mayat seorang bayi lelaki," katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.
Rakannya, Rohimah Bani Amin, 25, pula berkata, mayat bayi itu kelihatan seperti dijaga rapi apabila ia dipakaikan baju berwarna putih dan kuning.
Dia yang menghubungi polis sebaik sahaja Ahmad Sufian menemui bayi itu memberitahu, lubang hidung bayi tersebut bagaimanapun disumbat dengan kapas.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Zakaria Yusof ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan kejadian tersebut.
Beliau berkata, polis masih menunggu laporan forensik ke atas mayat bayi lelaki tersebut yang turut mempunyai kesan lebam di seluruh tubuhnya.
Zakaria meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di talian 05-2451222 bagi membantu siasatan.


kes-2  
Utusan - Tangisan bayi kejutkan warga emas
SEGAMAT 9 Ogos - Seorang wanita warga emas terkejut apabila menemui seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan dan ditinggalkan di hadapan rumahnya di Pekan Jabi di sini malam tadi.
Bayi malang tersebut ditemui kira-kira pukul 11 malam selepas dia menangis tanpa henti sehingga mengejutkan wanita berusia 75 tahun itu.
Sebaik sahaja menemui bayi tersebut, wanita itu yang tinggal bersama anaknya meminta pertolongan jiran untuk memaklumkan kepada polis mengenai penemuan bayi itu.
Ketua Polis daerah, Supritendan Abdul Majid Mohd. Ali berkata, bayi seberat 2.6 kilogram itu ditemui dalam keadaan berbalut dengan kain lampin.
Turut ditinggalkan bersamanya, beg plastik yang mengandungi pakaian dan stokin.
Beliau berkata, bayi itu dipercayai berketurunan Melayu dan baru dilahirkan sebelum ditinggalkan di hadapan rumah wanita berkenaan.
"Pihak polis masih menyiasat siapa ibu bayi ini, namun kita percaya bayi ini dilahirkan di hospital atau klinik kerana adanya klip pada bahagian pusatnya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, bayi berkenaan dihantar ke Hospital Segamat untuk penjagaan lanjut.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
"Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat di talian 07-9324222," katanya.


kes-3 
Utusan - Janin lelaki dicampak dalam tong sampah






JANIN lelaki dijumpai dalam sebuah tong sampah di Kompleks Pulau Mutiara, Lebuh Macallum, Georgetown, semalam.

PULAU PINANG 9 Ogos - Hanya manusia bersifat binatang dan tidak takut dosa sahaja yang sanggup membuang bayinya yang dilahirkan tidak cukup bulan dan masih berlumuran darah ke dalam tong sampah.
Hakikatnya, manusia seperti itu memang wujud di kalangan kita. Ia terbukti apabila mayat janin lelaki yang masih mempunyai tali pusat ditemui di tempat pembuangan sampah di Kompleks Pulau Mutiara di sini hari ini.
Lebih menyayat hati, janin itu dipercayai dicampak dari ketinggian kira-kira 5 meter menyebabkan bahagian kepalanya luka teruk dipercayai akibat terkena serpihan tulang di dalam timbunan sampah sarap.
Janin yang berusia antara lima hingga enam bulan itu ditemui seorang wanita warga emas yang kebetulan sedang mencari barang lusuh di tempat buangan sampah itu kira-kira pukul 11.50 pagi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, janin itu dipercayai telah dibuang dalam tempoh 24 jam.
"Ia ditemui dalam timbunan sampah selepas kita menerima maklumat daripada orang awam. Hasil siasatan awal, ia dipercayai dilahirkan tidak cukup bulan iaitu baru berusia antara lima hingga enam bulan," katanya.
Tambahnya, mayat janin itu dihantar ke Bilik Mayat Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil ke mana-mana balai berdekatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di talian 04-2181822 membantu siasatan.
Sila "share" Berita2 di sini dengan kawan2 anda...terima kasih
 
© 2009 Berita pagi malaysia. All Rights Reserved | Powered by Blogger
Blogger Layout by psdvibe | Bloggerized By LawnyDesignz |Modern Home Design