Tajuk Berita Terbaru

http://www.bina-website-sendiri.com/images/header.jpg

Selasa, Ogos 03, 2010

bekas kakitangan MPAJ jual lesen perniagaan palsu

Buka ‘kilang’ lesen palsu


AMPANG: Seorang bekas kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dikesan sengaja mencetak lesen perniagaan palsu sebelum dijual kepada peniaga yang mahu menjalankan perniagaan di bazar Ramadan dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.
Suspek yang dibuang kerja kerana kesalahan tatatertib dipercayai menggunakan ‘kepakarannya’ ketika bekerja di MPAJ kira-kira dua tahun lalu untuk menipu mangsanya dengan menyamar kakitangan dan mencetak lesen yang hampir 100 peratus asli.
Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata suspek dipercayai mengenakan bayaran sehingga RM435 bagi satu lesen perniagaan sementara di bazar Ramadan di kawasan MPAJ.

“Kegiatan suspek terbongkar apabila seorang mangsa yang mempunyai premis perniagaan otak-otak di Taman Maju Jaya, Ampang di sini, didatangi suspek yang memperkenalkan dirinya penguat kuasa MPAJ dan menawarkan lesen perniagaan sementara pada 5 Julai lalu.

“Mangsa membayar wang RM435 kepada suspek,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa yang berusia 45 tahun itu turut menyerahkan maklumat peribadi isterinya kepada suspek yang kononnya akan menggunakan jalan singkat untuk mendapatkan lesen perniagaan dan sijil pengendalian makanan memandangkan Ramadan hampir tiba.

Menurutnya, keesokannya kira-kira jam 2 petang, suspek dipercayai datang ke rumah mangsa dengan menyerahkan lesen perniagaan itu dan meminta bayaran RM260 bagi bayaran sijil pengendalian makanan.

Bagaimanapun, mangsa yang gusar dengan penerimaan lesen perniagaan itu yang disiapkan suspek dalam sehari menyebabkan dia ke MPAJ untuk mendapatkan kesahihannya.

“Terkejut dengan jawapan yang diterima daripada seorang kakitangan MPAJ yang mengesahkan lesen itu palsu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah. “Suspek ditahan kira-kira jam 5 petang, Jumaat lalu di rumahnya di Taman Cheras Indah, Ampang dan kini direman empat hari sehingga esok (hari ini) bagi membantu siasatan,” katanya.

Ketika serbuan itu, polis turut merampas pencetak berwarna dan dua lesen perniagaan MPAJ palsu.

Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan suspek sudah menipu lebih daripada seorang mangsa dan bergiat aktif apabila tiba Ramadan.


-kosmo






mesti dah banyak dia untung ni........
Sila "share" Berita2 di sini dengan kawan2 anda...terima kasih
 
© 2009 Berita pagi malaysia. All Rights Reserved | Powered by Blogger
Blogger Layout by psdvibe | Bloggerized By LawnyDesignz |Modern Home Design