Tajuk Berita Terbaru

http://www.bina-website-sendiri.com/images/header.jpg

Jumaat, Ogos 06, 2010

hilang tiga anak dalam kemalangan


 kosmo-Ibu hilang tiga anak serentak
Gambar kenangan Rosiah bersama tiga anaknya, dari kiri Fatin Atikah, Fatin Atifah dan dua dari kanan Mohd. Faiz Danial.




MARAN - "Hancur luluh hati saya sebaik sampai di tempat kejadian, ketiga-tiga anak saya sudah tidak bernyawa."
Demikian luahan Rosiah Mohamad Ismail, 35, yang kehilangan ketiga-ketiga orang anaknya serentak dalam kemalangan di Jalan Temerloh-Bandar Jengka di sini kelmarin.
Menurut wanita itu, semasa tragedi itu, anak sulungnya iaitu Fatin Atikah, 16, adiknya, Fatin Atifah, 15, dan paling bongsu, Mohd. Faiz Danial, 6, menaiki kereta Perodua Kancil bersama dua lagi rakan mereka, Mohamad Azlan Abdul Talib, 21, dan Shawal Ruddin Hambali, 19.
Kereta Kancil itu kemudian bertembung dengan sebuah kereta BMW.
Ketiga-tiga orang anaknya itu adalah hasil perkahwinannya dengan bekas suami Muhamad Faizal Yusof, 37. Mereka baru bercerai kira-kira tiga bulan lalu.
Turut terbunuh dalam kemalangan itu ialah Mohamad Azlan.
Menurut Rosiah, semasa tragedi itu, kelima-lima mangsa dalam perjalanan pulang dari Temerloh sebelum mereka singgah di Felda Jengka 14 membeli nasi ayam untuk makan malam di rumah di Bandar Jengka.
Rosiah memberitahu, sebaik menerima berita kemalangan itu, dia yang terkejut terus bergegas ke tempat kejadian untuk melihat anak-anaknya.
Bagaimanapun, kata Rosiah, sebaik sampai di tempat kejadian, ketiga-tiga anaknya itu sudah tidak bernyawa.
"Ini adalah dugaan paling hebat apabila dalam hidup saya kehilangan tiga anak serentak," kata Rosiah ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Jengka (HJ) malam kelmarin.
Dia yang merupakan pengusaha salon kecantikan di Bandar Jengka berkata, tiga orang anaknya itu sangat baik dan hidup berdikari terutama selepas dia tidak lagi tinggal sebumbung dengan bekas suaminya akibat perselisihan faham.
Sementara itu, bekas suami Rosiah, Muhamad Faizal berkata, dia amat terkejut dengan musibah menimpa ketiga-tiga orang anaknya kerana sebelum ini dia kerap berpesan kepada bekas isterinya supaya tidak membenarkan mereka memandu kereta.
"Pada hari kejadian, saya berasa gelisah sepanjang hari ketika berada di dalam bilik sewa di Kuala Lumpur.
"Mungkin itu petanda sesuatu yang buruk menimpa ahli keluarga saya di Pahang," katanya yang kini bekerja di Kuala Lumpur.
Sila "share" Berita2 di sini dengan kawan2 anda...terima kasih
 
© 2009 Berita pagi malaysia. All Rights Reserved | Powered by Blogger
Blogger Layout by psdvibe | Bloggerized By LawnyDesignz |Modern Home Design