Tajuk Berita Terbaru

http://www.bina-website-sendiri.com/images/header.jpg

Khamis, Ogos 05, 2010

Hantar Kenangan Menyambut Kemerdekaan

Rakyat Malaysia Dipelawa Hantar Kenangan Menyambut Kemerdekaan Kepada Arkib Negara

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Rakyat Malaysia dipelawa menghantar koleksi kenangan mereka ketika menyambut kemerdekaan kepada Arkib Negara, melalui Program Penyerahan Koleksi Rakyat Merdeka 1Malaysia.

Ketua Pengarah Arkib Negara Datuk Sidek Jamil berkata lazimnya koleksi di Arkib Negara diperoleh daripada sumber-sumber rasmi kerajaan atau pun daripada tokoh terkemuka.

Bagaimanapun, sempena menyambut hari kemerdekaan tahun ini, Arkib Negara mahu membuat kelainan iaitu dengan mendapatkan koleksi berkaitan kemerdekaan daripada orang ramai yang boleh menyerahkannya sebelum 20 Ogos ini.

"Sesiapa saja boleh memberi sumbangan daripada koleksi mereka dalam menyambut kemerdekaan kepada Arkib Negara," katanya pada sidang akhbar mengenai Program Penyerahan Koleksi Rakyat Merdeka 1Malaysia pada hari Rabu.

Sidek berkata beliau berharap agar dapat memperoleh bahan-bahan berkenaan daripada penduduk setiap negeri di Malaysia kerana ia akan memberi gambaran perbezaan mereka dalam menyambut merdeka.

"Kita minta orang ramai memberi sama ada gambar dokumen atau video kepada Arkib Negara yang menunjukkan sambutan kemerdekaan dari 1957 hingga sekarang, yang lama lagi bagus kerana ia akan memberi gambaran menyeluruh tentang hari kemerdekaan," katanya.

Pemilihan pemenang juga akan dibuat dengan hadiah utama berupa sijil penghargaan dan wang tunai RM750.

Hadiah turut diberi kepada setiap kategori berlainan, antaranya kategori bahan gambar, video dan juga dokumen.

Sidek berkata pemenang akan dipilih berdasarkan kepada nilai yang terdapat pada koleksi mereka, dan sumbangan yang tidak memenangi sebarang kategori akan tetap disimpan dan dipaparkan dalam laman web Arkib Negara.

-- BERNAMA
Sila "share" Berita2 di sini dengan kawan2 anda...terima kasih
 
© 2009 Berita pagi malaysia. All Rights Reserved | Powered by Blogger
Blogger Layout by psdvibe | Bloggerized By LawnyDesignz |Modern Home Design