Tajuk Berita Terbaru

http://www.bina-website-sendiri.com/images/header.jpg

Jumaat, Ogos 20, 2010

Polis buru ahli perniagaan berhubung sindiket judi online

Utusan - Polis buru ahli perniagaan
KUALA LUMPUR 19 Ogos - Polis sedang memburu seorang ahli perniagaan yang dipercayai bertindak sub-ejen kepada satu sindiket perjudian secara online yang berjaya ditumpaskan polis semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, pihaknya masih menyiasat lokasi sebenar ahli perniagaan itu yang dipercayai terlibat secara langsung dalam sindiket perjudian antarabangsa terutamanya pertaruhan sukan bola sepak.
Beliau berkata, sindiket perjudian antarabangsa itu antara sindiket terbesar yang dikehendaki polis kerana melibatkan nilai taruhan antara RM500 juta hingga RM1 bilion untuk setiap satu acara sukan.
Jelas beliau, dalam serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 2.30 petang semalam di Pusat Perniagaan Megan Avenue, Jalan Ampang di sini, polis menahan seramai 17 individu yang dipercayai pekerja kepada sub-ejen terbabit.

Katanya, ketika serbuan, kesemua pekerja yang berusia antara 20 hingga lingkungan 30-an itu sedang mengambil dan menerima pertaruhan daripada pelanggan.
"Ketika serbuan, sub-ejen sindiket itu tiada di pejabat dan kita hanya berjaya menahan pekerjanya sahaja.
"Oleh itu, kita sedang memburu sub-ejen terbabit yang masih bebas. Kita juga akan siasat sama ada ahli perniagaan itu masih berada di negara ini atau tidak," katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Mohd. Bakri, dalam serbuan itu, pihaknya telah merampas 34 unit komputer yang dipercayai digunakan untuk tujuan pertaruhan.
Katanya, sindiket perjudian atas talian itu dipercayai berpangkalan di Hong Kong dan mempunyai ejen serta sub-ejen di beberapa negara Asia.
Katanya, sindiket yang berjaya ditumpaskan semalam itu dipercayai telah diburu polis sejak dua tahun lalu selain sering bertukar-tukar lokasi.
"Nilai pertaruhan turut menggunakan mata wang Hong Kong dan kita percaya ia berpangkalan di negara terbabit," katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Bakri memberitahu, siasatan awal pihaknya mendapati setiap seorang ejen mempunyai 9,000 sub-ejen dan setiap satu sub-ejen mempunyai 50 orang perantara atau runner.
Katanya, tugas bagi setiap sub-ejen adalah mengawal, menyelia dan mengurus segala pertaruhan daripada pelanggan yang membuat taruhan.
"Bagi runner pula mereka akan mencari dan menerima pertaruhan daripada pelanggan yang membuat taruhan.
"Setakat ini, kita percaya lebih 30 sub-ejen sindiket perjudian online ini beroperasi di negara ini," katanya.
Sila "share" Berita2 di sini dengan kawan2 anda...terima kasih
 
© 2009 Berita pagi malaysia. All Rights Reserved | Powered by Blogger
Blogger Layout by psdvibe | Bloggerized By LawnyDesignz |Modern Home Design