Tajuk Berita Terbaru

Jumaat, Ogos 20, 2010

Nama Guan Eng dalam doa khutbah jumaat

Utusan -Nama Guan Eng ganti Agong
TASEK GELUGOR 19 Ogos – Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang membantah penggunaan nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di beberapa masjid, baru-baru ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penggunaan nama Setiausaha Agung DAP itu dalam khutbah Jumaat dikesan sejak minggu lalu di beberapa masjid sekitar sini, Permatang Pauh dan Jelutong.

Perkembangan itu, tegasnya, amat mengejutkan kerana seolah-olah ada usaha pihak tertentu untuk mencemarkan nama Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam di negeri ini.
“Lazimnya dalam doa kedua khutbah solat Jumaat, ada dibacakan doa untuk ketua negeri atau ketua agama Islam dan umum mengetahui di Pulau Pinang kita merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam.
“Penggunaan nama ketua menteri jelas mengingkari kuasa Yang di-Pertuan Agong seolah-olah ketua menteri pula menjadi ketua agama Islam,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat UMNO negeri di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pihaknya mempunyai bukti berhubung perkara itu dan sedang meneliti sama ada wujud arahan tertentu daripada Jabatan Agama Islam Pulau Pinang atau Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).
“Tindakan menggunakan nama ketua menteri dan digantikan dengan nama Yang di-Pertuan Agong juga sebenarnya di luar daripada amalan negeri-negeri lain di seluruh Malaysia selain bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-Raja,” tegasnya.
Sementara itu, beliau turut mendedahkan terdapat pihak pengurusan beberapa masjid yang tidak lagi dibenarkan mengutip bayaran sewa bazar Ramadan yang beroperasi di pekarangan rumah ibadat itu sebaliknya kutipan tersebut disalurkan kepada pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Ahmad Zahid berkata, tindakan menghalang pengurusan masjid memungut wang kutipan bazar Ramadan terbabit jelas mencampuri pengurusan hal ehwal agama Islam selain dilihat menyalahgunakan dana masjid untuk kepentingan politik.
“Kalau dulu kutipan wang bazar Ramadan disalurkan kepada masjid tetapi kenapa pula sekarang tidak boleh tetapi disalurkan pula kepada pusat khidmat ADUN? Ini dana masjid yang digunakan untuk aktiviti-aktiviti masjid bukan untuk tujuan politik,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid turut mempersoalkan tindakan Guan Eng menghadiri majlis-majlis pengagihan wang zakat kepada golongan memerlukan yang sepatutnya dilakukan oleh pemimpin Islam.
“Kalau pun kerajaan negeri mahu menggambarkan beliau (Guan Eng) sebagai pemimpin yang fleksibel tetapi kita percaya ada agenda tersembunyi untuk menggunakan Islam bagi meraih kepentingan politik,” katanya.
Sila "share" Berita2 di sini dengan kawan2 anda...terima kasih
 
© 2009 Berita pagi malaysia. All Rights Reserved | Powered by Blogger
Blogger Layout by psdvibe | Bloggerized By LawnyDesignz |Modern Home Design