Tajuk Berita Terbaru

http://www.bina-website-sendiri.com/images/header.jpg

Sabtu, Ogos 07, 2010

Lans Koperal masuk ICU akibat kejar penyamun

kosmo-Petinju polis kritikal di HKL


SEORANG anggota polis memeriksa motosikal dinaiki Nik Hafizi yang terlibat dalam kemalangan di Kepong semalam.



KUALA LUMPUR – Hajat seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal untuk mengejar seorang penyamun tidak kesampaian apabila dia kritikal selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah treler di Bulatan Kepong di sini semalam.
Kejadian pukul 5 pagi itu mengakibatkan Nik Hafizi Nik Din, 20-an, cedera parah dan terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur.


Lebih malang apabila Nik Hafizi baru sahaja mengikat tali pertunangan dengan seorang pelajar sebuah kolej kejururawatan di sini dan bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang bertugas dengan membuat sekatan jalan raya di Jalan Segambut di sini bersama beberapa anggota dan pegawai.

Katanya, mangsa ditugaskan untuk berkawal di bahagian belakang untuk mengenal pasti pesalah yang cuba melarikan diri sebelum tiba di sekatan tersebut.
“Dia kemudian ternampak seorang penunggang motosikal bersenjatakan parang berpatah balik dan melawan arus sebaik ternampak sekatan.
“Mangsa kemudian bertindak mengejar suspek dengan menaiki motosikal tetapi apabila tiba di Bulatan Kepong dia telah bertembung dengan sebuah treler,” katanya pada sidang akhbar semalam.
Tambahnya, suspek yang melihat kejadian itu dapat melarikan diri.
Menurut Zakaria, mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan berada dalam keadaan kritikal.
“Nik Hafizi merupakan seorang anggota yang berdedikasi dan petinju dalam pasukan polis,” katanya.
Ujar Zakaria, mangsa yang berasal dari Gua Musang, Kelantan telah berkhidmat dalam pasukan polis lebih empat tahun lalu dan ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul sejak empat bulan lalu.
Sila "share" Berita2 di sini dengan kawan2 anda...terima kasih
 
© 2009 Berita pagi malaysia. All Rights Reserved | Powered by Blogger
Blogger Layout by psdvibe | Bloggerized By LawnyDesignz |Modern Home Design