Tajuk Berita Terbaru

http://www.bina-website-sendiri.com/images/header.jpg

Rabu, Mei 19, 2010

Pembantu rumah Indonesia wajib diberi cuti

PUTRAJAYA, 18 Mei (Bernama) -- Isu penghantaran pembantu rumah Indonesia ke Malaysia yang berlarutan hampir setahun semakin mendekati penyelesaian apabila kedua-dua negara Selasa menandatangani Surat Hasrat mengenai syarat-syarat penggajian termasuk cuti sehari seminggu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mengadakan perbincangan empat mata dengan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono di sini, berkata bagaimanapun soal gaji minimum masih dirundingkan oleh kedua-dua pihak.

"Hanya satu Surat Hasrat ditandatangani berkaitan bidang tenaga kerja...antara lain mengkehendaki majikan Malaysia memberi kelapangan (pelepasan/cuti) sehari dalam seminggu kepada pekerja Indonesia.

"Jika terdapat persetujuan antara majikan Malaysia dan pekerja itu yang tidak ingin mengambil kelepasan itu, dia akan dibayar setimpalnya mengikut kadar upahnya," katanya pada sidang akhbar selepas perbincangan kira-kira satu setengah jam di pejabatnya di sini.

Najib berkata Surat Hasrat itu juga antara lain menetapkan pasport pekerja Indonesia hendaklah dipegang oleh pekerja kecuali dengan persetujuan kedua-dua pihak, ia boleh disimpan majikan.

Memorandum persefahaman (MOU) dijangka menyusul dalam tempoh dua bulan lagi bagi membolehkan penghantaran pembantu rumah yang diberhentikan sejak Jun tahun lepas disambung semula.

Indonesia telah menggantung sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia dan kedua-dua negara sedang berunding untuk menyiapkan MOU baru berhubung penghantaran Tenaga Kerja Indonesia (TKI) di sektor tidak formal itu.

Selain gaji minimum, kos penghantaran pekerja yang tinggi (kira-kira RM8,000) turut menjadi masalah kepada pembantu rumah Indonesia dan majikan di Malaysia.

Terdapat kira-kira 300,000 pembantu rumah Indonesia bekerja di Malaysia.

Presiden Bambang tiba hari ini bagi menghadiri Rundingan Tahunan Ketujuh antara pucuk pimpinan kedua-dua negara dan turut dijadual berucap pada Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), esok.

Najib berkata dalam penuh semangat kerjasama Malaysia juga bersetuju dengan permintaan Indonesia untuk menambah bilangan guru Indonesia yang mengajar anak-anak pekerja Indonesia di Sabah, tetapi tidak menyebutkan bilangannya.

Sebelum ini kerajaan Malaysia telah memberi persetujuan bagi Indonesia mengirim guru-gurunya untuk mengajar anak-anak pekerja ladang di pusat-pusat pembelajaran terutama di kawasan pedalaman Sabah yang menggunakan banyak tenaga kerja Indonesia.

"Bagi penambahan guru, pihak majikan khususnya swasta akan mengadakan tempat dan ruang yang sesuai supaya anak-anak pekerja ladang mereka boleh diajar oleh guru-guru Indonesia dalam kurikulum mereka," kata Perdana Menteri sambil menambah bahawa tempat itu tidak semestinya berupa bangunan khusus untuk sekolah.

Najib berkata pada perbincangan empat mata itu juga mereka setuju untuk menampung pertukaran pelatih atau pegawai yang mendapat latihan dan pengajian di universiti pertahanan di Malaysia dan Indonesia. -Bernama
Sila "share" Berita2 di sini dengan kawan2 anda...terima kasih
 
© 2009 Berita pagi malaysia. All Rights Reserved | Powered by Blogger
Blogger Layout by psdvibe | Bloggerized By LawnyDesignz |Modern Home Design