KUALA LUMPUR - Isu kereta sapu sudah banyak kali diperkatakan sejak sekian lama dan kewujudan 'pencuri' penumpang ini tidak pernah berakhir.
Mereka berani melakukan tawar-menawar dengan penumpang tanpa mempedulikan undang-undang dan sensitiviti pemandu teksi berlesen yang turut mencari rezeki.
Tinjauan Kosmo! di Hentian Bas Pekeliling di sini mendapati hampir 15 buah teksi sapu beroperasi menunggu pelanggan di kawasan itu.
Seorang penyelia di terminal itu yang enggan namanya disiarkan berkata, pendekatan prebet sapu dalam mendapatkan penumpang agak agresif.
"Mereka menjadikan orang ramai yang ingin ke Genting Highlands sebagai sasaran utama dengan menawarkan perkhidmatan yang mengelirukan sehingga ada penumpang yang sanggup menjual semula tiket bas yang sudah mereka beli kepada orang lain," katanya.
Menurutnya, jumlah mereka bertambah pada hujung minggu dan cuti umum dengan operasi bermula seawal pukul 8 pagi hingga tengah hari.