Kosmo - 2 rakan mati dirempuh lori
KUALA SELANGOR: Dua sahabat baik maut selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 38, Jalan Kuala Selangor-Meru, Puncak Alam, dekat sini, kelmarin. Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, penunggang, Amin Syahideen Tazhar, 16, dan pembonceng, Mohammad Shahrul Hafiz Azmi, 17, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Bagaimanapun, pemandu lori berusia 48 tahun hanya cedera ringan.
Difahamkan, kedua-dua mangsa yang tinggal berjiran itu dalam perjalanan ke Meru untuk bertemu rakan.
Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Che Hussin Omar, berkata kemalangan berlaku ketika penunggang motosikal bersama pembonceng cuba memotong kenderaan di hadapan dan masuk ke laluan bertentangan.
“Sejurus tiba di lokasi kejadian, penunggang terbabit gagal mengawal kenderaannya sebelum bertembung dengan lori berkenaan.
“Berikutan itu, kedua-dua remaja yang memakai topi keledar itu tercampak ke tengah jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini, semalam.
Impak daripada kejadian itu, pemandu lori terbabit mengawal kenderaannya sebelum masuk ke dalam parit sebelah kiri jalan.
Che Hussin berkata, bedah siasat dijalankan di Hospital Tanjung Karang (HTK) mendapati punca kematian akibat kecederaan parah di kepala.
“Kedua-dua mangsa adalah pelajar Sekolah Menengah Puncak Alam dan tinggal di Bandar Baru Puncak Alam,” katanya menambah Mohammad Shahrul tinggal di No 59, manakala Amin Syahideen di No 43, Lorong Mahkota Impian 2/20 Bandar Puncak Alam.